18/10/2025 6:00 PM
Dari pentas lawak ke dunia keusahawanan, pelakon dan penyampai radio popular Johan kini mencatat satu lagi pencapaian besar dalam kariernya, bergelar usahawan motosikal elektrik (EV) menerusi syarikat miliknya, Hanania Group Sdn. Bhd.
Langkah berani itu dizahirkan melalui pembukaan Pusat Pameran Motosikal Elektrik (EV) GGR x Johan di Melawati Square, Kuala Lumpur, sebuah inisiatif yang menandakan penyertaan serius beliau dalam industri automotif hijau negara.
Menariknya, majlis pelancaran bersejarah itu disempurnakan oleh sahabat karib beliau, Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Kesihatan yang kini turut bersama Johan sebagai penyampai di Hot FM.
Johan, atau nama penuhnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, bukanlah nama asing dalam dunia hiburan tempatan. Namun, selepas kejayaan restoran Itik Ke Ayam?, beliau kini memacu perubahan dengan menyertai revolusi mobiliti elektrik, satu langkah berani yang mencerminkan visi dan semangat usahawan sejati.
Melalui kolaborasi strategik bersama GGR Motor, Johan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GGR Legacy (M) Sdn. Bhd., sekali gus memeterai kerjasama rasmi dalam pemasaran motosikal elektrik di Malaysia.
“Pembukaan pusat pameran ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berkembang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di seluruh negara,” ujar Johan penuh semangat.
Apa yang menjadikan pelancaran ini lebih bermakna ialah mesej yang dibawanya. Bukan sekadar perniagaan, tetapi simbol kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau dan mobiliti mapan, seiring aspirasi pembangunan lestari negara.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi (Dekmat), Johan bukan sekadar rakan kongsi perniagaan, tetapi juga sahabat yang sentiasa memberi dorongan sejak awal perjalanan mereka.
“Saya takkan lupa, waktu susah dulu pun Johan tetap datang beri semangat.
Hari ini, bila dia buka pusat EV sendiri, saya rasa sebak sebab kami sama-sama bermula dari bawah,” katanya dengan nada penuh makna.
Motosikal elektrik keluaran GGR Motor direka khusus untuk kegunaan harian, dengan tiga mod kelajuan (35 km/j hingga 70 km/j) serta masa pengecasan sekitar enam jam.
Kos penyelenggaraannya jauh lebih rendah berbanding motosikal konvensional, kerana tidak memerlukan servis enjin berkala.
Setiap unit hadir dengan waranti 50,000 km, dan ditawarkan dalam enam warna trendi iaitu merah, putih, kuning, oren, biru cair dan merah jambu.
Lebih menarik, harga selepas rebat kerajaan hanyalah RM1,569 seunit, menjadikannya antara motosikal elektrik paling mampu milik di pasaran Malaysia.
Rebat ini terbuka kepada individu berpendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000, dan sah sehingga Disember 2025.
Proses kelulusan biasanya mengambil masa dua minggu, manakala pembelian perlu dibuat dalam tempoh sebulan selepas diluluskan.
Setiap motosikal akan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan layak menerima perlindungan insurans. Buat masa ini, tiada cukai jalan dikenakan bagi kenderaan elektrik dua roda, menjadikan kos pemilikan lebih berbaloi.
Kos keseluruhan untuk pendaftaran nombor plat dan insurans dianggarkan sekitar RM2,054.
Selepas Farid Kamil, Johan menjadi selebriti kedua yang bekerjasama dengan GGR Motor, satu langkah yang membuktikan bahawa personaliti hiburan juga mampu menjadi ikon perubahan sosial dan alam sekitar.
Bagi Johan, keusahawanan dalam bidang EV bukan sekadar urusan perniagaan, tetapi sebuah bentuk dakwah moden untuk mengajak masyarakat beralih kepada gaya hidup hijau dan lestari.
“Saya percaya masa depan industri automotif akan lebih berdaya lestari. Ini bukan tentang trend, tetapi tentang tanggungjawab,” katanya penuh bermakna.
Pembukaan GGR x Johan bukan sahaja menandakan kejayaan peribadi seorang artis serba boleh, tetapi juga langkah besar ke hadapan bagi industri automotif hijau Malaysia.
Johan telah membuktikan bahawa perubahan bermula dengan keberanian, dari pentas komedi ke dunia EV, beliau kini antara pelopor selebriti yang menjadikan revolusi hijau bukan sekadar visi, tetapi realiti.