13/09/2025 8:00 AM
Pelakon, pengarah dan usahawan terkenal, Farid Kamil kini melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan dengan membuka kedai motosikal elektrik (EV) pertamanya di bawah syarikat NEO FK Sdn Bhd. Premis baharu itu yang terletak di Setia Alam turut menjadi simbol komitmen beliau terhadap masa depan mobiliti mesra alam di Malaysia.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dengan kehadiran rakan kongsi strategik NEO FK, iaitu Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim, serta rakan kerjasama utama, GGR Motor.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NEO FK, Farid menegaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada visinya untuk menawarkan motosikal elektrik yang berkualiti, mampu milik dan lestari kepada rakyat Malaysia.
“Kami percaya kenderaan elektrik adalah masa depan mobiliti. Dengan kerjasama GGR, kami yakin dapat mempercepatkan transformasi ini, bukan sahaja di Selangor, malah ke seluruh Malaysia,” katanya.
Harga motosikal EV yang ditawarkan bermula serendah RM1,599, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pengguna untuk memiliki kenderaan hijau tanpa membebankan poket.
Melalui kerjasama strategik dengan GGR Motor, NEO FK bakal menawarkan pelbagai model motosikal EV dengan kelebihan:
Bateri moden berkapasiti tinggi
Sistem pengecasan pantas
Ciri keselamatan canggih
Antara model utama ialah Lion G1, yang menjadi tumpuan kerana ditawarkan pada harga hanya RM3,999 atau RM1,599 selepas insentif MARiiCas bernilai RM2,400.
Lion G1 dilengkapi motor 3,000W, mampu mencapai kelajuan 35-70 km/j bergantung kepada mod tunggangan, dengan jarak perjalanan sehingga 120 km untuk sekali cas penuh.
Pelancaran ini bukan sekadar inisiatif perniagaan baharu, tetapi menjadi titik tolak penting dalam memupuk kesedaran rakyat tentang kepentingan mobiliti hijau. Kehadiran selebriti seperti Farid Kamil dalam dunia motosikal EV diyakini mampu menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada gaya hidup yang lebih lestari.