06/09/2025 6:00 PM
Usaha GGR Motor untuk muncul sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama negara menerima sokongan penuh apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan mengadakan lawatan rasmi ke kilang pemasangannya baru-baru ini.
Seramai 25 pegawai JPJ WP yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang, hadir ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala. Lawatan itu memberi pendedahan lebih dekat mengenai proses pemasangan motosikal EV tempatan, selain meninjau keseluruhan operasi kilang berkenaan.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, menyifatkan kunjungan bersejarah itu sebagai titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV mematuhi piawaian serta undang-undang yang ditetapkan.
“Ini merupakan lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami. Kami yakin kerjasama ini akan melancarkan pelaksanaan SOP serta mempercepatkan pengeluaran motosikal EV yang patuh undang-undang,” katanya.
Kehadiran rombongan JPJ disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, bersama Mussaddiq. Mereka turut dibawa meninjau fasiliti pemasangan motosikal, bangunan jualan aksesori, bengkel servis serta bahagian operasi lain yang membentuk ekosistem kenderaan elektrik syarikat itu.
Mussaddiq memaklumkan bahawa motosikal EV pertama keluaran syarikat, Lion G1, kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ sejak 1 September lalu.
“Kami menjangkakan penyerahan unit bermula dalam masa terdekat. Setakat ini lebih 6,000 tempahan diterima dan sedang diproses untuk diserahkan kepada pemilik,” jelasnya.
Lion G1 dibangunkan sepenuhnya melalui penyelidikan tempatan, direka khusus untuk pasaran Malaysia dengan penekanan terhadap kos mampu milik dan ciri mesra alam.
Kilang Sungai Penchala yang dioperasikan oleh GGR Legacy sebelum ini dilancarkan dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal EV di rantau ASEAN. Usaha ini turut mendapat dorongan daripada insentif dan dasar kerajaan dalam memperkukuh industri mobiliti elektrik negara.
Pada pelancaran rasmi Lion G1 pertengahan Julai lalu, GGR Motor menyasarkan pengeluaran 30,000 unit menjelang akhir 2025. Sambutan luar biasa terbukti apabila lebih 2,500 unit ditempah hanya dalam tempoh seminggu selepas pelancaran.
Bagi memenuhi permintaan tinggi, GGR Motor merancang membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung di atas tanah seluas lebih satu ekar. Fasiliti itu dijangka menjadi hab utama pengeluaran Lion G1 serta model-model EV seterusnya, sekali gus mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.
Inisiatif ini diperkukuhkan dengan kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), meliputi latihan teknikal, penyelenggaraan dan pembangunan rantaian bekalan.
“Permintaan yang tinggi membuktikan motosikal elektrik buatan tempatan mampu bersaing di pasaran dengan kualiti premium pada harga berpatutan,” tambah Mussaddiq.
Dengan perkembangan positif ini, GGR Motor dilihat semakin hampir merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai peneraju motosikal elektrik di rantau ini.