14/07/2025 9:00 PM
Pasaran kenderaan elektrik (EV) global terus melonjak apabila China, peneraju utama teknologi hijau dunia, mencatatkan lebih 45,000 unit jualan dengan pertumbuhan luar biasa 300% tahun ini melibatkan kereta dan motosikal elektrik. Fenomena ini jelas mencerminkan hala tuju mobiliti masa depan yang semakin berpaksikan tenaga bersih, lestari dan berinovasi.
Seiring perkembangan tersebut, Malaysia turut memperkukuh komitmen dalam peralihan EV melalui pendekatan teknologi mampu milik, membuka ribuan peluang pekerjaan serta keusahawanan baharu. Langkah ini sejajar dengan aspirasi nasional menuju ekonomi berteraskan inovasi dan pengurangan jejak karbon.
MARA tampil proaktif dengan menggerakkan kerjasama strategik antara Perniagaan Mazlan & Hashimah Sdn Bhd (PMH) dan GGR Motor Sdn Bhd, melahirkan motosikal EV buatan tempatan pertama. Inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada lebih 6,500 usahawan Bumiputera melalui rangkaian jualan, servis, dan teknologi, sekali gus mewujudkan ekosistem EV yang mampan dengan harga kompetitif.
Perbincangan hangat mengenai potensi industri EV dan peranan usahawan Bumiputera menjadi teras Bless Talk Siri 5/2025 di Anjung Korporat, Ibu Pejabat MARA.
Panel istimewa menampilkan:
Encik Zahari bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA
Encik Mohd Izwan bin Mazlan, CEO PMH
Encik Muhammad Musaddiq bin Mohamed Azmi, Pengarah Urusan GGR Motor
Dengan tema “EV: Di Mana Peluang Bumiputera Hari Ini”, sesi ini menekankan potensi pasaran, strategi perniagaan, teknologi bateri serta isu tarif antarabangsa. Menariknya, meskipun dasar Amerika Syarikat cuba menekan pasaran EV, kesannya hampir sifar kerana komponen utama masih diimport terus dari China.
Acara ini turut mengumumkan tawaran eksklusif untuk warga MARA, pelajar tajaan, serta usahawan:
Diskaun tambahan RM299 bagi model GGR EV Lion G1
Diskaun tambahan RM399 bagi model GGR EV Tiger R1
Hadiah khas - setiap pembeli kereta di PMH, tanpa mengira jenama, akan menerima percuma satu unit GGR EV Lion G1
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan terhadap jenama tempatan, malah menggalakkan penggunaan EV secara lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Rakaman penuh program ini boleh ditonton menerusi Laman Sosial Rasmi MARA di Facebook dan YouTube BLESS TALK.