30/06/2025 9:00 AM
Satu detik bersejarah tercatat dalam landskap automotif negara apabila GGR Motor secara rasmi melancarkan dua model motosikal elektrik sulungnya - Lion G1 dan Tyga R1 pada 28 Jun 2025. Pelancaran ini bukan sekadar pengenalan produk, tetapi menandakan lonjakan besar ke arah mobiliti lestari yang inklusif dan progresif, sejajar dengan aspirasi negara menuju masa depan karbon rendah.
Lebih menarik, model utama Lion G1 ditawarkan pada harga subsidi luar biasa serendah RM1,599 melalui inisiatif MARiiCas, menjadikannya antara motosikal elektrik paling mampu milik di pasaran Asia Tenggara.
Majlis pelancaran gemilang yang diadakan di Saloma, Kuala Lumpur, disempurnakan oleh YB Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Turut hadir ialah barisan kenamaan termasuk:
Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Pengerusi GGR Motor
Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, Pengarah Urusan GGR Motor
Dr. Nizar Abdul Jalil, Rakan Kongsi GGR Motor
Dato’ Zulfikri Osman, Ketua Pengarah MARA
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tanah air seperti Datuk Aaron Aziz, Farid Kamil, dan Black Hanifah, yang turut menghiburkan tetamu dengan persembahan eksklusif.
Menurut Muhammad Mussaddiq, Lion G1 lahir daripada visi jangka panjang “Satu Rumah, Satu EV”, iaitu memastikan setiap isi rumah, sama ada di bandar, desa, PPR mahupun FELDA, mampu memiliki kenderaan mesra alam berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
Meskipun harga asal Lion G1 mencecah RM3,999, subsidi MARiiCas menjadikannya hanya RM1,599, satu penanda aras baharu dalam capaian teknologi EV rakyat.
Dikuasakan oleh motor elektrik 3,000W, Lion G1 mampu menjelajah sehingga 120km dengan satu cas penuh. Ia juga menyokong pengecasan pantas 50% dalam hanya 90 minit, menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian.
Dengan jaminan waranti sehingga 50,000km, Lion G1 mengatasi jangkaan untuk motosikal dalam kategori bawah RM2,000, daripada aspek prestasi, kebolehpercayaan dan nilai jangka panjang.
Sejak tempahan dibuka pada 15 Jun lalu, sambutan pasaran sangat menggalakkan dengan 3,000 unit terjual dalam masa dua minggu. Penghantaran awal untuk 1,000 unit pertama dijangka bermula hujung Julai, diikuti baki selebihnya pada Ogos 2025.
GGR Motor turut memantapkan ekosistem selepas jualan dengan kerjasama bersama PMH Motor Sdn Bhd sebagai pengedar utama, selain berganding bahu dengan:
PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia - untuk penubuhan bengkel rasmi PETRONAS MotoExpert, menggunakan pelincir EV khas jenama PETRONAS Iona.
Bateriku.com – untuk menyelaras khidmat teknikal dan penyelenggaraan di jalanan.
Varchea, Votol, FJN dan Vectrix – sebagai rakan pembangunan teknologi global.
Langkah ini dijangka mempercepatkan pembangunan model-model EV akan datang yang lebih canggih dan berdaya saing.
Lebih daripada sekadar pengeluar, GGR Motor turut melakar impak dalam pembangunan modal insan. Menerusi kerjasama dengan MARA, usahawan Bumiputera dilantik sebagai pengedar rasmi di seluruh negara.
Program ini turut melibatkan latihan Technical and Vocational Education and Training (TVET) bersama institusi seperti Universiti Kuala Lumpur - Malaysia France Institute (UniKL-MFI), Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, dan pusat pendidikan MARA lain, merangkumi pemasangan, penyelenggaraan dan jualan EV, lengkap dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
Sebagai simbol tanggungjawab sosial, GGR Motor mewakafkan lima unit Lion G1 kepada masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur bersempena Awal Muharram, termasuk penyelenggaraan percuma seumur hidup, inisiatif yang menyatukan teknologi dengan nilai kebajikan.
Model kedua yang turut diperkenalkan, Tyga R1, ditawarkan pada harga RM7,699 (sebelum rebat) dan dijangka memasuki pasaran menjelang hujung tahun ini. Ia menyasarkan segmen pengguna yang mahukan gaya lebih agresif dan prestasi lebih tinggi dalam kelas EV dua roda.
Sebagai pelengkap pelancaran, Karnival EV Rider Malaysia 2025 turut dianjurkan di Lanai, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) bermula seawal jam 8 pagi. Acara ini menghimpunkan komuniti EV, pemain industri, agensi kerajaan dan pencinta mobiliti hijau dari dalam dan luar negara.
Sorotan utama termasuk persembahan selebriti popular seperti Ajak Shiro, Johan, Ronnie Hussein, Cat Farish, Bella Astillah, usahawan terkenal Dato' Alif Syukri serta penampilan istimewa daripada kumpulan Jemson, The Woohoo, dan DJ serantau seperti Iksan Skuter (Indonesia), DJ Teera (Thailand) dan DJ Alip Mazlan (Malaysia).
Pengunjung juga berpeluang memenangi motosikal Lion G1 menerusi cabutan bertuah dengan hanya membeli jersi rasmi GGR bernilai RM40.
Dengan pelancaran Lion G1 dan Tyga R1 ini, GGR Motor bukan sekadar menembusi pasaran EV, tetapi tampil sebagai pengeluar motosikal elektrik milik penuh usahawan Bumiputera pertama di Malaysia, memacu era baharu dalam mobiliti rakyat yang lestari, mampu milik dan inklusif.