16/06/2025 8:01 AM
GGR Motor mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan Program EV Rider Malaysia 2025 dalam satu majlis berprestij di Saloma, Kuala Lumpur semalam, dengan sasaran pengeluaran sehingga 30,000 unit motosikal elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini.
Program ini merupakan strategi komprehensif untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem mobiliti elektrik serantau, serta menjadi pemangkin kepada pembangunan industri motosikal EV tempatan.
Dianjurkan oleh GGR Legacy (M) Sdn Bhd, yang lebih dikenali sebagai GGR Motor, bersama rakan strategiknya Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd, pelancaran rasmi program dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2025.
Gabungan dua entiti utama ini diyakini mampu merintis perubahan signifikan dalam landskap automotif negara, menuju ke arah mobiliti hijau yang lestari dan mampan.
Sebagai pengeluar motosikal EV pertama milik penuh usahawan Bumiputera, GGR Motor mengetengahkan barisan produk tempatan berkualiti tinggi dengan harga yang amat kompetitif. Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama eksklusif dengan PMH MOTOR selaku pengedar sah utama di seluruh negara.
Dalam memantapkan rantaian sokongan pasaran EV, GGR Motor turut menjalinkan kolaborasi strategik dengan Bateriku.com bagi menyediakan khidmat selepas jualan dan penyelenggaraan menyeluruh di peringkat nasional.
Sebahagian daripada inisiatif ini juga termasuk penubuhan Pusat Latihan Kemahiran TVET bersama PMH MOTOR, yang akan melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang automotif elektrik meliputi aspek pemasangan, servis dan jualan motosikal EV.
Program ini turut menerima sokongan padu daripada pelbagai agensi dan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), TVET@KKDW, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) dan VECTRIX.
Antara kemuncak pelancaran ialah pengenalan model terbaru Lion G1, ditawarkan pada harga asas serendah RM3,999, atau hanya RM1,599 selepas subsidi melalui skim MARiiCas – menjadikannya motosikal EV paling mampu milik bagi golongan pelajar, penghantar makanan dan pengguna bandar.
Dikuasakan dengan motor 3,000 watt, Lion G1 mampu mencapai jarak sehingga 120 kilometer untuk satu cas penuh, dan menyokong pengecasan pantas sehingga 50% dalam masa hanya 30 minit. Ia turut disertakan dengan waranti menyeluruh sehingga 50,000 kilometer, meliputi bateri, motor, dan sistem kawalan elektronik.
“EV Rider Malaysia bukan sekadar program, tetapi satu platform transformasi menyeluruh untuk memperkasa pendidikan pengguna, merangsang pelaburan serta memperkukuh ekosistem industri EV negara. Inilah peluang besar untuk Malaysia muncul sebagai peneraju utama revolusi mobiliti serantau,” ujar Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi dalam sidang media pelancaran.
Majlis turut diserikan oleh kehadiran tetamu kehormat Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail selaku Pengerusi GGR Motor, serta beberapa tokoh penting industri termasuk Dr. Nizar Abdul Jalil (rakan kongsi utama GGR Motor), Azarol Faizi (Pengarah Urusan Bateriku.com), Azuan Md Ghazali (Timbalan Pengarah 1 MARA Negeri Selangor), Mohd Izwan Mazlan (Pengarah Urusan PMH MOTOR), Mohd Zameer Zahur Hussain (CEO PLMM) dan Leong Lup Yan (CFO Cape EMS Berhad - VECTRIX).
Turut memeriahkan acara ialah selebriti terkenal seperti Farid Kamil, Cat Farish, Johan dan kumpulan Gerhana Ska Cinta.
Muhammad Mussadiq turut berkongsi perkembangan memberangsangkan apabila menyatakan bahawa sebanyak 2,400 unit Lion G1 telah terjual dalam masa seminggu sejak diperkenalkan, sekali gus mendorong GGR Motor menaikkan sasaran jualan bulan Jun daripada 3,000 kepada 5,000 unit susulan permintaan tinggi termasuk dari pasaran China.
Dalam merangka pelan pengembangan kapasiti, GGR Motor kini merancang pembangunan sebuah lagi kilang baharu hasil pelaburan dari China dengan nilai anggaran RM20 juta. Kilang yang bakal dibina di Kampung Sungai Penchala, Damansara, ini terletak berhampiran kemudahan sedia ada, di atas tanah milik Tengku Syarif Temenggong Perlis yang juga dilantik sebagai pengerusi projek.
Pelabur dari China akan membina kilang pembuatan komponen motor dan menghantar komponen berdasarkan unjuran jualan semasa untuk pemasangan tempatan.
Bagi menjamin kelestarian tenaga kerja, GGR Motor turut menubuhkan Akademi GCR – sebuah pusat latihan dan pembangunan modal insan yang akan melatih juruteknik serta mekanik EV. Seramai 50 belia lelaki, khususnya yang lahir tahun 2000 dan ke atas, akan diserap masuk untuk latihan teknikal sebelum ditawarkan pekerjaan tetap dalam syarikat.
“Kami bukan sekadar ingin menjual motosikal, tetapi mahu membina satu ekosistem EV tempatan yang menyeluruh – dari penyelidikan dan pembangunan, pemasangan, latihan kemahiran, penyelenggaraan, hingga membuka peluang keusahawanan,” jelas beliau.
Sasaran pasaran GGR Motor tertumpu kepada golongan belia, penjawat awam, warga FELDA, anggota keselamatan serta komuniti bandar dan luar bandar yang memerlukan alternatif mobiliti yang lebih ekonomi dan mesra alam.
Melalui EV Rider Malaysia 2025, GGR Motor turut merintis kerjasama bersama MARA bagi melantik usahawan pengedar EV dalam kalangan lepasan TVET, disertai latihan SKM Tahap 3 dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, pemasangan serta khidmat teknikal.
Program ini juga menarik minat dan penyertaan dari negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan China, serta kehadiran influencer EV antarabangsa dan tempatan.
Dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan kerjasama strategik antara tempatan dan luar negara, pembangunan tenaga kerja tempatan dan penggunaan teknologi lestari, GGR Motor yakin program ini akan menjadi penanda aras baharu dalam dunia permotoran elektrik Asia Tenggara, serta bukti keupayaan produk tempatan menembusi pasaran global.