14/05/2025 8:52 PM
Ibu kota bakal menjadi medan pertemuan komuniti pemotoran elektrik serantau apabila acara EV Rider Malaysia 2025 akan dianjurkan di Saloma Kuala Lumpur, pada 28 Jun ini. Acara julung kali itu dijangka menarik penyertaan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, termasuk pemain industri utama, peminat kenderaan elektrik (EV), serta penyokong teknologi hijau.
Dianjurkan dengan kerjasama GGR Motor, Everxon, Santai Anak Utara (SAU), PMH Auto dan Bateriku.com, program ini membawa misi memperkasakan kesedaran dan minat awam terhadap penggunaan motosikal elektrik, sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju neutral karbon menjelang 2050.
Dengan slogan “EV Rider”, program ini bakal menampilkan penyertaan dari beberapa negara serantau seperti China, Thailand, Vietnam dan Indonesia, selain memperkenalkan pelbagai jenama EV ternama seperti GGR EV, Zeeho, Yadea, Superlux, Ebixon, VMoto, Blueshark dan banyak lagi.
Acara ini bukan sekadar pameran atau konvoi motosikal, tetapi platform strategik untuk mempertemukan pengguna, pengeluar, pelabur serta agensi kerajaan dalam membina ekosistem EV yang mampan dan menyeluruh di negara ini. Kami mahu gerakkan komuniti ‘riders’ ke arah lebih lestari, bukan hanya melalui gaya hidup, tetapi juga menerusi kesedaran teknologi dan kelestarian alam sekitar.
Acara yang bakal berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, 139, Jalan Ampang itu dijangka menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti konvoi motosikal elektrik, demonstrasi produk, sesi padanan perniagaan, dan pertunjukan teknologi EV.
Malaysia kini sedang giat merangka dasar dan infrastruktur sokongan EV yang lebih menyeluruh, dan acara seperti ini dilihat penting dalam merakyatkan teknologi hijau serta merangsang pertumbuhan industri mobiliti masa depan.
Orang ramai dijemput hadir secara percuma dan boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sosial rasmi GGR Motor (M) Sdn. Bhd.
Untuk pertanyaan media dan maklumat lanjut, sila hubungi:
GGR Motor (M) Sdn Bhd
E-mel: [email protected]
Telefon: 010-2508479