13/05/2024 4:02 PM
GGR Motor (M) Sdn Bhd terus komited dalam menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, seiring dengan pelancaran Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik pada Disember 2023.
Langkah ini sejajar dengan seruan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempercepatkan peralihan kepada penggunaan EV secara meluas dalam tempoh kurang lima tahun akan datang.
Diterajui oleh Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, penerima Anugerah Ikon Usahawan (Platinum) dalam Bidang Automotif dan Mobiliti—lebih dikenali sebagai Dekmat—bersama Prof. Dr. Nizar Abdul Jalil, GGR Motor berjaya mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya menjual sebanyak 100 unit motosikal EV dalam tempoh hanya dua hari.
Peningkatan permintaan ini disokong oleh pelbagai insentif kerajaan termasuk pengecualian cukai import, cukai eksais, serta pengecualian cukai jualan penuh untuk EV pemasangan tempatan sehingga 31 Disember 2027, sekali gus menjadikan sektor ini semakin menarik dan berdaya saing.
Menurut Muhammad Musaddiq, motosikal EV bukan sahaja menjimatkan kos petrol, malah mengurangkan beban penyelenggaraan yang lazimnya tinggi bagi kenderaan berkuasa enjin konvensional.
“Motosikal EV ini telah dinaik taraf sehingga mampu mencapai kelajuan sehingga 239 km/j, dengan jarak 100 kilometer untuk satu bateri. Kini, ia bukan sekadar alternatif, malah sebuah fenomena baru yang kami ingin sebarkan ke seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, teknologi EV yang ditawarkan bukan sahaja mesra pengguna, malah lebih efisien dari segi kos jangka panjang.
“Sekarang ini, harga petrol makin meningkat. Tapi dengan EV, pengisian minyak bukan lagi keperluan utama. Kos penyelenggaraannya juga jauh lebih rendah. Kalau dibandingkan dengan motosikal petrol, EV jauh lebih berbaloi.
“Kita juga telah naik taraf dari dua kepada tiga bateri, membolehkan jarak perjalanan mencecah sehingga 240 km. Untuk RM1,800 dengan waranti selama tiga tahun enam bulan, ia satu pelaburan yang sangat berpatutan,” jelas beliau lagi semasa majlis rumah terbuka GGR Motor baru-baru ini.
EV juga menyumbang secara langsung dalam usaha mengurangkan pencemaran udara kerana ia tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil. Sehubungan itu, GGR Motor menetapkan sasaran untuk menjual 5,000 unit motosikal EV dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM50 juta menjelang Disember 2024.
Sebagai langkah strategik memperkukuh pemasaran, GGR Motor turut menjalinkan kerjasama dengan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) untuk melantik artis-artis tanah air sebagai duta jualan bagi motosikal EV keluaran syarikat tersebut.
Usahasama ini dimeterai melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq dan Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid.
Melalui kerjasama ini, para peminat akan dapat mengenali serta membeli motosikal EV secara lebih mudah dan dekat menerusi artis-artis kegemaran mereka.
Setakat ini, GGR Motor yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru berhasrat untuk terus mengembangkan capaian pasaran, sekali gus menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkasakan penggunaan teknologi hijau di Malaysia.